“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [Al-Hujurat: 13]


26 Disember 2008

Kita Bersaudara...


“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Al-Hujurat: 13]

YAB. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dalam Perutusan Hari Raya ‘Eidul Fitri 1429H yang lepas antara lainnya menyebut dan menekankan bahawa :….

“Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa.

"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.

"Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli,…".

"Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan.

"Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama.

"Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama,…" .

“Dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w.

"Semuanya ini berupa pengabdian,".

FirmanuLlah pula yang bermaksud….
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan." [Ar-Rum (30):22]

Setelah berkembang biaknya manusia dengan jumlah yang begitu ramai di seluruh pelosok bumi, maka bertembung pulalah antara satu sama lain akibat perselisihan, perbezaan mahupun pertentangan akibat fitrah yang wujud dalam setiap manusia. Justeru, sebahagian menjadi musuh sebahagian yang lain.

"Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa". [Al-Baqarah (2):36]

Manusia difitrahkan memiliki aqal yang menjadi alat untuk mereka membuat pilihan. Ia bebas memilih tanpa dipaksa atau ditambat pada mana-mana kuasa, melainkan itulah iradah (kehendak) dari Allah, Yang Maha Perkasa. Manusia bebas ( free will ) untuk membuat pilihan dan setiap perbuatan yang lahir dari pilihan tadi pasti dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Untuk manusia, asas pilihan itu hanya 2 (dua) iaitu sama ada beriman atau kufur kepada Penciptanya yang Benar!